Thursday, February 6, 2014

* Hakikat *


Antara sujud dan tanda pengenalan manusianya
Dirikanlah solat puasa zakat dan haji - sekiranya mampu
jangan berbuat kerosakan di atas muka bumi ini
saling berusaha dan membantu ke arah kebajikan untuk faedah sesama
tinggalkan munkar, luaskan dan suburkan yang makruf
demikianlah asas kerukunan tanggungjawab manusia terhadap Tuhannya
dan terhadap manusia termasuk alam seluruhnya

Antara sujud dan tanda pengenalan manusianya
ada surat yang tidak sempat dibaca oleh penerimanya
ada suara yang belum pernah didengar oleh pemiliknya
ada jari yang belum pernah menyentuh syahadatnya
ada sinar yang belum pernah dilihat dan dijadikan penyuluh akal budinya
ada bening subuh yang menyorotkan cahaya benderang di kaki langit
senya pintu perjalanan hari bermula di salahsilah kebenaran
yang sangat tersembunyi dan sangat terang di lipatan maknawiayah
sir tajalli wahdaniat iradat kudrat yang membujurkan
sekujur raga dan seluruh rahsia ada dan tiada di pintu kehidupan

Siapakah yang berbisik bertanya dan sekali gus menjawab pertanyaan
ketika engkau menyendiri dan bersama kepelbagaian resah runyam
yang menggunung di sela-sela rantai perjalanan nafas kehadiranmu
langit dan bumi matahari dan bulan segalanya bersaksi dan menyaksikan
tujuh petala langit dan tujuh petala bumi yang menyebar dan melaksanakan
suhufi Ibrahim dan Musa yang telah menyempurnakan perintah Tuhannya
menyembelih kebinatangan dan menghancurkan bukit kesombongan
yang berpacu menyeret dirinya ke bibir permainan Iblis dan syaitan
Saksikanlah makna kulit dan isi pada setiap yang bernama ada
apakah sama warna antara keduanya
apakah sama rasa antara keduanya
apakah sama rahsia kewujudan antara keduanya

Benih bukan bermakna pohon
tapi benih mengandung rupa dan rahsia pohon
manusia bukan bermakna insan
tapi insan mengukir dan menyatakan sifat dan zat
yang hidup dan menghidupkan seluruh kehidupan
termasuk manusia yang merasa dirinya serba berilmu
dan mengaku dirinya sebagai khalifah

Auzubillahi mina syaitan i rajim
Aku berlindung kepada Allah dari muslihat kejahatan syaitan yang direjam

Antara suara dan nafas yang mengalun
tanpa diketahui di manakah paksinya
di situlah berebutan insaniah yang mengukir jalan pulang
dan iblis syaitan yang angkuh dan takabur
menyelinap menjaja kebenaran
di sebalik berbagai jubah keIslaman..

No comments: