Monday, December 23, 2013

BELAJARLAH MELEPASKANNYA

        Seorang rakan saya pernah mengatakan bahawa kita semua ini adalah BA, Bakal Arwah. Agak tercengang kawan-kawan yang mendengarnya. Adakah di antara kita ini yang boleh terlepas dari menjadi bakal arwah, tanyanya kepada rakan-rakan yang hadir. Jarang terfikir rupanya tapi benarlah katanya, pasti satu hari nanti jadi Arwahlah kita semua.
         Maka sebelum hari itu terjadi, mari bayangkan bagaimana kita melalui hari itu. Hari kita dipanggil pulang oleh Tuhan yang menghantar kita dahulu ke dunia. Hari itu kita kembali kepadaNYA. Cuba kita bayangkan dan praktikkan. Kita relakan roh kita itu sedikit demi sedikit pergi meninggalkan jasad. Untuk roh itu pergi dengan tenang, ia harus redha pada Allah dan diredhai Allah. Bermakna ia harus sudah berserah kepada Allah dan harus pulang sendirian. Justeru pada saat itu, agar jiwa kita redha di bawa pulang kepada Allah, di hati sudah melepaskan segala yang ada di dunia. Melepaskan pasangan hidup samada suami atau isteri, melepaskan anak-anak, melepaskan duit beribu-ribu dalam bank atau di mana saja ia berada, melepaskan jawatan tinggi yang sedang dipegang dan melepaskan apa saja yang dicintai. Secara ringkasnya melepaskan segala kenikmatan hidup yang sedang dinikmati di dunia ini. Pastinya ia bukan suatu yang mudah, malah ia boleh menjadi suatu yang amat sukar ditempuhi.
         Bagaimanakah caranya untuk kita membuat persiapan agar hari yang pasti datang ini tidak terlalu sukar dilalui? Kita harus sudah bersedia melepaskan. Melepaskan yang kita sayangi di dunia ini dari hati kita agar mudah perjalanan pulang kembali kepada Tuhan.
         Bagaimana melepaskan yang dicintai di dunia ini? Apakah kita tidak boleh saling mencintai? Jawapannya pasti boleh dan digalakkan kita saling mengasihi tapi kasih dan cintalah sekadarnya. Tidak salah mencintai suami namun jangan sampai terlalu sayang sehingga tidak sanggup ditinggal atau meninggalkan. Tidak salah mengasihi anak-anak jangan sampai kita terlalu sedih nanti jika terpaksa untuk meninggalkan. Ini bagi membuat persiapan hari kita bergelar Arwah nanti. Agar pada hari itu, kita sudah ikhlaskan semua takdir dan ketetapan ALLAH, kita sudah siap untuk kembali kepada asal muasal kita. Meninggalkan semua yang dipinjamkan ALLAH di dunia ini. Perasaan itu boleh dilatih dan sekiranya kita menghadapi kesukaran melakukannya mohonlah pertolongan ALLAH untuk memudahkan kita melepaskan. 
         Teringat kisah seorang Ustaz yang menceritakan saat-saat getir ketika kapalterbang yang dinaikinya hampir terhempas. Setiap wajah yang dilihatnya kelihatan cemas. Salah seorang anak kapal bertanya kepada ustaz itu, “Apakah Ustaz tidak cemas?”. Kemungkinan di wajah ustaz tersebut kelihatan tenang-tenang sahaja. Maka kata Ustaz itu, “Kalau saya takut pun jatuh, kalau saya tak takut pun jatuh”. Sambung Ustaz itu lagi, “Saya ada pilihan mahu ikhlaskan ketetapan ALLAH ini atau tidak mahu ikut kehendak ALLAH. Kalau saya ikhlas, insyaALLAH mati saya husnul khotimah, namun sekiranya saya tidak mahu tunduk pada ketetapan ALLAH ini, maka tidak berimanlah saya kepada Rukun Iman keenam iaitu yakin dengan qada’ dan qadar ALLAH, maka matilah saya dalam kesyirikan”.
          Bilakah kita akan menjadi Arwah adalah dalam takdir ketetapan ALLAH. Adalah kehendakNya. Malaikat maut datang membantu kita pulang. Sekiranya kita tidak mahu ikut pulang, bertambah sakitlah perjalanan pulang yang sememangnya satu kesakitan yang dahsyat. 
          Kecintaan kepada pasangan hidup, anak-anak dan harta akan merupakan halangan terbesar dalam mengikhlaskan kehendak ALLAH memanggil kita pulang. Justeru seseorang harus mengingat kembali bahawa satu waktu dahulu dia dihantar ke dunia ini seorang diri, secara bersendirian. Namun atas kasih sayang ALLAH maka ALLAH menyediakan seorang ibu dan seorang ayah untuk membelai dan membesarkan dengan penuh kasih dan sayang. Kemudian ALLAH mencukupkan lagi nikmat kasih sayangNya dengan menjodohkan seseorang hambaNya itu dengan pasangan hidupnya buat menjadi peneman hidup dalam suka dan duka. Dikurniakan kasihsayang Mawaddah dan RahmatNya. Disempurnakan lagi rumahtangga yang dibina dengan kehadiran anak-anak yang akan menyambung tugasan sebagai khalifah di muka bumi dan penyeri hidup bersuami isteri. Terlalu baiknya Tuhan yang menghantar seseorang hambaNYA ke dunia ini. Persis seperti majikan yang menghantar pekerja ke luar Negara. Segala keperluan dicukupkan agar pekerja boleh bekerja dengan sebaiknya.
            Namun setelah sekian lama Maha Raja menghantar utusan yang dicintaiNya ke dunia ini, tiba-tiba utusan hamba ini lebih mencintai teman yang dihantar dari yang Maha Menghantar. Dia mencintai anak-anak yang dikurniakan melebihi dari Yang Maha Mengurniakan. Sebuah kisah cinta yang sedih dan pilu. Lebih menyedihkan lagi adalah apabila tujuannya dihantar ke dunia sudah dilupakan kerana sibuk mengumpulkan harta dunia demi masa depan keluarga yang disayang. Engkar dan berpaling tadahlah dia pada Tuhan yang mengutuskan.Ibarat di Tanggang yang engkar kepada ibunya yang melahirkan, lupalah sang hamba kepada Tuhannya. Lupalah dia bahawa satu waktu dahulu ketika dihantar ke dunia ini, pasangan hidup dan anak-anak tidak ada sama sekali dalam kehidupannya. Dia datang berkelana berbekalkan kasih sayang Tuhannya.                                                                                                                                                       Apakah kisah cinta yang sedih ini akan berlarutan sehingga hari kita bergelar Arwah itu tiba? Belajarlah melepaskan dari sekarang agar kita selamat di perjalankan pulang

No comments: