Monday, July 7, 2014

AIR MATA

Begitu banyak air mata telah mengalir di dunia ini
Dari mata mengalir perlahan ia turun ke pipi,
lalu terus jatuh ke bumi

Mata itu kecil, namun airnya tidak pernah berhenti
Seumpama aliran sungai yang mengalir ke laut tanpa pernah henti
Dan nescaya jika ia ditadah, pastikan banjir muka bumi ini

Bergenang air mata
Kerana ia luahan rasa hati yang tercetus
Berfirman Allah S.W.T. dalam kalam mulia,

"Dan bahawasanya Dialah yang menjadikan manusia tertawa dan menangis..." An-Najm:43

Ada yang menangis, kerana lembutnya jiwa
Ada yang menangis, kerana kecewa bercinta
Ada yang menangis, kerana rasa gembira
Ada yang menangis, kerana terlalu hiba
Ada yang menangis, kerana berasa diri hina
Ada yang menangis, kerana banyaknya derita
Ada yang menangis, kerana inginkan simpati manusia
Ada yang menangis, kerana mengikut-mengikut manusia
Dan ada yang menangis, kerana sekadar berpura-pura

Air mata
Mampukah ianya memadamkan panasnya api neraka
Sedang Nabi telah pun bersabda

Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata 

kecuali 
Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka

Maka carilah air mata yang bisa menyelamatkan dari neraka
Seumpama air mata taubat Nabi Adam yang 300 tahun lamanya
Tanpa mendongak baginda ke langit kerana tersangat takut dan hibanya,
terhadap keterlanjuran

Terus bersujud baginda di atas gunung penuh setia
Lalu mengalir air matanya di jurang serandip penuh hiba
Allah menerima taubatnya dengan kalam wahyu,

Wahai Adam sesungguhnya belum pernah 

Aku menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubatmu

Air mata

Usah dititiskan kerana tidak tercapai cita-cita, itu sudah ketentuan Allah Azza Wajalla
Usah dititiskan kerana menonton sinetron, ia cuma sekadar lakonan
Usah dititiskan kerana cinta tidak berbalas, mungkin dia bukan jodoh yang ditetapkan
Usah dititiskan kerana gagal dalam pelajaran, ia terjadi kerana mungkin kurangnya persediaan
Usah dititiskan kerana hilang wang di jalanan, sebab mungkin diri kurang bersedekah membuat amalan
Usah dititiskan kerana tidak dinaikkan pangkat, yakinlah rezeki itu pemberian Tuhanmu

Tetapi

Simpanlah air mata buat bekalan menginsafi diri
Atas segala kecuaian yang melanda diri
Serulah air mata di sebalik cermin diri
Agar menitis ia mencuci hati

Terlanjur diri melakukan dosa baru,
Jangan sampai ia mematahkan hatimu untuk mencari redho Tuhanmu
Kerana boleh jadi ianya dosa terakhir yang ditakdirkan untukmu
Teruslah berusaha agar cinta-Nya menjadi milikmu

No comments: