Monday, May 9, 2011

permainan tradisional.... WAU.....

Pengenalan
     Permainan rakyaat seperti wau merupakan suatu kegiatan masa lapang yang amat popular di kalangan masyarakat Melayu, Wau amat digemari oleh masyarakat Melayu di Pantai Timur sejak lima abad yang lalu. Wau dimainkan bukan sahaja untuk tujuan hiburan, malah dipertandingkan terutamanya oleh para petani selepas menuai padi.
     Sebagai salah satu daripada kesenian Melayu, kedudukan wau lebih kurang sama pentingnya dengan permainan tradisional lain seperti gasing atau sepak takraw’
Asal-usul
     Menurut suatu catatan, wau dipercayai dicipta oleh seorang yang bernama Sang Jaya atau yang mempunyai gelaran seperti Dewa Muda, Dewa Hindu dan Masai Kelana Seri Panji. Wau dipercayai dihasilkan antara tahun 711 hingga 839 Masihi. Terdapat beberapa dakwaan tentang Negara asal bermulanya wau seperti di Indonesia, Thailand dan tidak kurang pula yang mendakwa dari Kelantan.
     Pada awalnya wau dicipta sebagai lambang kebesaran sesebuah negara. Wau digunakan sebagai panduan untuk menentukan sesuatu arah. Wau juga dikatakan menjadi lambang kejayaan setiap serangan yang dilakukan oleh sesebuah negara yang dilakukan oleh sesebuah negara ke atas negara lain.
     Selepas berjaya dalam serangan pesta menyambut kemenangan diadakan
Dengan menaikkan wau .Lama kelamaan wau dijadikan permainan mengisi masa lapang yang popular sehingga diadakan pertandingan pula,
     Kini wau merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Biasanya wau dimainkan pada musim kemarau setelah selesai menuai padi,
     Pendapat kedua menyatakan wau telah bermula di Negara China sejak 3000 tahun yang lalu. Bagaimanapun pada masa itu wau bukan dicipta untuk tujuan hiburan, sebaliknya untuk menerbangkan makanan kepada mereka yang terperangkap di bukit-bukit atau gunung-gunung semasa banjir.
     Ada juga berpendapat, wau bukan sahaja sudah dimainkan malah sudah mempunyai pelbagai bentuk rupa pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud. Perkara ini dapat dibuktikan melalui buku ‘Sejarah Melayu’  yang menceritakan perihal pertandingan wau yang disertai oleh Raja Ahmad putera Sultan Mahmud. Ini menunjukkan permainan wau pada masa itu sangat popular hingga wujud permainan kebangsaan bagi anak-anak raja dan golongan istana.
     Pendapat ketiga pula menyatakan permainan wau pada awalnya tiada nama. Wau dimainkan oleh kanak-kanak dan diperbuat daripada daun yang diikatkan pada tulang belakang dengan menggunakan tali daripada kelopak pisang atau urat nanas.
     Permainan itu dimainkan di kawasan lapang dan berangin. Apabila permainan tersebut terputus, anak-anak yang memainkan akan menangis. Bunyi tangisan “wa,wa,wa” akan kedengaran dan lahirkan perkataan wau.
a ) Jenis-jenis wau
     Wau merupakan permainan masyarakat Melayu yang sungguh unik. Selain memerlukan ketelitian penghasilan, gubahan corak dan kemahiran menerbangkan wau, seseorang itu harus mahir menghasilkan beberapa jenis wau. Antara wau yang dihasilkan ialah wau bulan, wau burung, wau merak, wau kucing dan wau ikan.
i )  Wau Bulan
     Wau bulan merupakan wau yang paling popular jika dibandingkan wau lain. Wau ini mempunyai bentuk seperti bulan sabit yang di bahagian hadapan dan separa bulatan di bahagian ekor. Oleh itu wau tersebut seolah-oleh kelihatan seperti bulan yang terbang di angkasa lepas.
     Saiz wau bulan adalah besar. Wu bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar berbanding wau lain untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut akan kelihatan jelas sekali. Oleh itu pemilihan warna yang terang dan corak dengan jelas oleh penonton walaupun sedang terbang tinggi di angkasa.
ii ) Wau Burung
     Wau burung pula kelihatan cukup menarik. Wau burung mempunyai bentuk asas seperti wau bulan tetap mempunyai bentuk badan dan kepala yang lebih kecil. Bahkan terdapat bentuk wau yang hampir menyamai seekor burung yang sedang terbang.
     Antara jenis burung yang paling diminati ialah wau merak dan wau burung helang, wau merak dihiasi dengan ukiran yang berbentuk corak dan warna seekor merak. Ada juga yang meletakkan pelbagai jenis rompol di bahagian ekor supaya kelihatan unik apabila diterbangkan.
     Wau burung helang pula dibentuk seperti seekor helang yang mempunyai kepala yang berparuh kecil. Kemudian bahagian tersebut dihiasi dengan ropol yang kelihatan seperti bulu, ini sudah pasti akan menjadi wau tersebut seperti seekor helang yang sedang terbang ke udara.
iii ) Wau Kucing
     Wau kucing adalah wau yang dihasilkan untuk mempelbagaikan corak dan bentuk wau, walaupun pada dasarnya wau kucing seperti wau bulan, tetapi sedikit penambahan dilakukan.
     Wau kucing mempunyai warna yang lebih gelap dan mempunyai jurai-jurai di bahagian ekor wau seperti seekor kucing. Lazimnya wau kucing jarang dihasilkan kerana tidak menarik.
iv ) Wau Ikan
     Wau ikan seperti wau kucing, wau ikan yang dihasilkan ialah ikan bawal, ikan emas, dan sebagainya. Bentuk wau ikan lebih menarik kerana mempunyai ropol-ropol seperti ekor dan sirip. Sungguhpun demikian wau ikan  kurang diminati kebanyakan penggemar wau.
b) Bentuk Fizikal
     Setelah mengikis miang buluh menggunakan pisau kecil buluh akan dikerat panjang dan mengukur dengan teliti untuk membentuk sayap di ekor wau.  Bilah-bilah buluh yang halus akan dibengkokkan dan diikat dengan benang, bagi menjamin timbangan yang sempurna.
     Buluh yang menegak sebagai tulang belakang wau itu mesti tebal daripada yang lain dalam rangka wau. Wau yang paling menarik perlu berukuran enam kaki dari hujung sayap kanan ke kiri dan tujuh kaki dari
Puncak ke ekor.
     Tulang belakang wau mempunyai leher sepanjang 30 cm yang terdapat di atas sayap wau, leher tersebut mempunyai dua fungsi iaitu menampil batang busur yang dipasang melintang 3 cm di atas sayap.
     Puncak leher pula dihiasi dan dibentuk dengan kepala burung yang berjurai-jurai dan lebat yang diperbuat daripada kertas nipis menyerupai jambul ayam jantan. Sayap-sayap wau berbentuk bujur melintang dan tajam di kedua-dua hujung sayap. Bahagian ekor pula terbentuk bulan sabit kerana lebih disukai ramai.
c ) Alat-alat Penghasilan
     Seperti permainan yang lain, Wau juga memerlukan pelbagai peralatan untuk menghasilkannya. Ini disebabkan penghasilan wau lebih sukar dan memerlukan kemahiran yang tinggi berbanding alat permainan yang lain.
i )  Buluh
     Buluh merupakan bahan asas yang digunakan untuk membuat wau. Buluh boleh didapati di dalam hutan yang lazimnya berhampiran dengan kawasan kediaman pembuat wau.
     Hanya buluh yang bermutu tinggi sahaja yang digunakan seperti buluh betung, buluh minyak dan sebagainya. Buluh daripada spesies ini mempunyai ruas yang panjang dan tahan lama bergantung kepada pemilihan . Semua ini dilakukan ke atas kemahiran si pembuat.
ii ) Pisau
     Pisau raut adalah pisau yang digunakan untuk meraut buluh. Pisau tersebut perlu tajam supaya dapat meraut buluh dengan mudah. Namun begitu harus diingat pisau yang terlalu tajam akan menyebabkan rautan buluh  tidak begitu baik. Justeru itu penelitian dan kemahiran perlu ada semasa kerja-kerja meraut buluh di jalankan. 
     Pisau kecil juga memainkan peranan yang cukup penting untuk menghasilkan corak yang menarik, pisau kecil mempunyai mata yang cukup
tajam untuk memotong atau mengguris bentuk corak yang terdapat pada permukaan kertas.
     Pisau kecil akan dapat mengguris corak dengan baik, disamping ketelitian
Si pembuat. Sekiranya kemahiran tiada corak yang dihasilkan juga tidak menarik dan kasar.
iii ) Kertas 
     Kertas merupakan bahan pelengkap dalam sesuatu wau. Kertas berwarna digunakan untuk menghasilkan wau yang menarik. Kertas ini dibahagikan kepada pelbagai warna sama ada merah, biru, hijau, kuning dan sebagainya.  
     Semua ini bergantung kepada bentuk, jenis atau pilihan si pembuat. Namun begitu pemilihan warna yang sesuai dengan corak ukiran akan melambangkan kemahiran si pembuatnya.
iv ) Pensil
     Pensil adalah peralatan untuk melakar lukisan. Pensil digunakan untuk menghasilkan pelbagai bentuk dan corak di atas kertas warna. Lazimnya pensil yang bermata halus digunakan untuk memastikan corak yang dihasilkan juga halus dan menarik. Lakaran ini memerlukan kemahiran dan daya imiginasi yang tinggi supaya dapat menghasilkan corak yang boleh dibanggakan kelak.
v ) Gunting
     Gunting digunakan untuk menggunting kertas yang telah dilakarkan gambar atau corak. Kertas digunting mengikut bentuk sesuatu wau. Kertas
Perlu digunting dengan cermat mengikut saiz, rangka wau supaya tidak berlebihan . Oleh itu mata gunting perlu tajam untuk memastikan kehalusan wau tersebut.
vi) Gam   
     Gam atau pelekat adalah satu bahan yang digunakan untuk melekatkan kertas warna yang dicorak pada kertas asas. Kertas tersebut dilekatkan dengan baik supaya tidak berkedut. Oleh itu gam yang digunakan perlu baik dan tidak berketul-ketul. Gam juga mestilah cair supaya boleh dilekatkan dengan mudah sekali.
     Selain itu gam juga perlu kuat kerana akan dilekatkan kertas pada bingkai wau. Sekitranya gam tidak kuat lekatannya , sudah pasti akan merosakkan wau atau mudah tertanggal apabila diterbangkan ke udara.
vii )  Tali
     Tali adalah pelengkap terakhir untuk membentuk wau. Tali yang digunakan adalah berbenang kasar yang mempunyai ketahanan. Tali tersebut mampu menarik wau dengan baik dan tidak mudah putus. Ini penting disebabkan wau mudah melayang apabila angin bertiup dengan kencang ke udara.
d ) Kaedah Penghasilan
     Bahan asas yang digunakan untuk membuat wau terdiri daripada buluh dan kertas. Bahan-bahan lain termasuklah gunting, pisau, pelekat, tali dan sebagainya.
     Buluh yang digunakan untuk menghasilkan wau yang menarik adalah daripada jenis buluh betung kerana mempunyai ruas yang panjang. Ini
Tidak akan mengganggu apabila kerja-kerja meraut buluh dilakukan. Tambahan pula bahagian ruas buluh akan menjadikan wau kelihatan tidak menarik dan mudah patah. Oleh itu pemilihan buluh ini dapat mengurangkan kerosakan semasa kerja-kerja meraut dilakukan.
     Buluh dari jenis duri dan minyak juga boleh digunakan. Buluh yang paling baik adalah buluh yang mati beragan atau mati pada bahagian rumpunnya dan berumur antara tiga hingga lima tahun. Buluh ini mempunyai ketahanan, ringan kelihatan cukup menarik sekali. Ciri-ciri di atas adalah penting untuk memastikan supaya wau mudah diterbangkan dan tidak mudah rosak.
     Kemudian buluh direndam di dalam air yang berselut untuk mendapatkan ketahanan, buluh direndam sehingga kering sebelum dipotong menjadi bilah-bilah tertentu. Bilah-bilah buluh diraut dan dibentuk menjadi rangka wau.
     Rangka wau yang dibentuk diikat dengan benang atau tali akan digamkan pada kertas mengikut jenis wau yang dikehendaki. Rangka wau ini perlu dilakukan menggunakan kreativiti si pembuat wau. Ini disebabkan rangka akan mempengaruhi jenis, saiz dan bentuk wau tersebut. Oleh itu si pembuat perlu mengetahui terlebih dahulu bentuk wau sebelum rangka dihasilkan.
     Semasa membuat wau, ukiran dan rautan mestilah ketat seimbang. Bagi mendapatkan bunyi yang berdengung ketika wau diterbangkan, plastic nipis atau pucuk daun digunakan dan diletakkan pada bahagian kepala wau. Dengungan wau ini boleh didengar pada jarak yang jauh.
     Kemudian kertas telah dibentuk dan dicorakkan akan ditampal pada rangka wau menggunakan gam. Pelbagai jenis warna dan corak yang menarik dikenakan pada wau. Selain itu kertas tersebut juga perlu nipis dan tahan lama supaya wau tidak mudah rosak apabila diterbangkan.
     Lazimnya pemilihan dan corak wau dilakukan dengan menggunakan kreativiti si pembuat wau. Wau kemudian diikat pada tali tangsi dan benang kasar untuk dinaikkan ke udara.
     Semasa mengukur keseimbangan wau, sejenis alat jangka digunakan.
Keseimbangan ini adalah penting untuk memastikan wau dapat dinaikkan dengan baik sekali apabila berada di angkasa.
     Kemudian wau dipasang busar yang halus untuk menghasilkan bunyi dengung apabila dilayangkan ke udara. Batang busar diperbuat daripada
Buluh yang lebih tebal dan kuat lazimnya diperbuat daripada buluh betung.
     Busar mempunyai kepanjangan lebih kurang 30 cm lebih pendek daripada ukuran bidang sayap yang diraut pipih. Kemudian busar yang menghasilkan bunyi dengung itu diletakkan pada kedua belah hujung batang busar dengan lengkang-lengkang buluh. Pada masa dahulu daun busar diperbuat daripada sejenis pokok seredangan tetapi kini menggunakan pita
kaset yang boleh menghasilkan bunyi yang kuat dan tahan lama.
e ) Ciri-ciri Penghasilan
     Penghasilan wau adalah unik berbanding permainan lain. Ini disebabkan penghasilan wau lebih sukar dan memerlukan kemahiran yang tinggi berbanding alat permainan yang lain.
     Bagi menghasilkan wau yang mempunyai nilai komersil, terdapat lima kertas yang digunakan iaitu kertas berwarna merah, hijau, emas, hitam dan putih. Pelbagai jenis lukisan dan rekaan untuk setiap lapisan di atas kertas putih terlebih dahulu dan kemudian menentas atau melorekkannya.
     Selepas dilekatkan contoh ukiran ini di tas kertas berwarna yang digunakan dan ditentaskan pula kerja berwarna tersebut, kerja ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan tempoh masa bergantung kepada kecekapan si pengukir.
     Sebelum itu mereka mendapatkan rangka yang diperbuat daripada buluh.
Ada banyak jenis buluh yang boleh digunakan sebagai rangka namun yang paling sesuai untuk rangka besar wau ialah buluh duri. Buluh ini adalah kuat, ringan dan liat.
f ) Corak dan Ukiran
     Wau merupakan salah satu permainan tradisional yang menarik sekali. Ini disebabkan alat permainan ini mempunyai bentuk yang unik dan pelbagai corak . Tambahan pula wau dimainkan dengan cara menerbangkan ke angkasa.  
     Bagi menghasilkan wau yang menarik, pelbagai corak dilakarkan. Kemahiran melakar dan melukis corak bergantung kepada kemahiran seseorang. Oleh itu pengalaman dan kemahiran amat diperlukan dan dari situlah keunikan wau dapat dinilai.  
     Sebelum menghasilkan wau, langkah-langkah yang paling baik adalah merancang dahulu keperluan yang ingin dilakukan. Antaranya ialah bahan-bahan yang ingin diperlukan, bahan-bahan hias atau bahan-bahan lain. Perancangan penghasilan wau ini boleh dilukis untuk dijadikan panduan semasa menghasilkannya.
     Sememangnya wau tidak lengkapnya sekiranya tidak terdapat motif di dalamnya .Sekiranya wau dihasilkan tanpa warna dan corak yang tertentu,wau tersebut akan kelihatan kosong dan kurang menarik. Oleh itu si pembuat wau mereka pelbagai motif dalam setiap wau supaya mempunyai nilai komersil.
     Lazimnya motif yang digunakan adalah berpandukan alam semula jadi .Oleh itu si pembuat wau hanya perlu mengadaptasikan pada wau mereka. Antara jenis corak yang terdapat pada wau ialah tumbuhan , haiwan, geometri dan gabungan pelbagai corak.
     Bunga-bungan merupakan satu bentuk yang paling popular. Bunga-bungaan ini dipilih daripada jenis mudah yang dilakarkan pada wau. Antara bunga yang menjadi kegemaran si pembuat ialah bunga labu, bunga pecah lapan, cemapaka  dan sebagainya.
     Selain tumbuhan, haiwan juga boleh dijadikan sumber impirasi untuk menghasilkan sesebuah corak . Namun bergitu hanya satu-satu bahagian haiwan sahaja yang dicorakkan pada wau.  Ini disebabkan masyarakat Melayu tidak begitu berminat untuk menghasilkan corak haiwan secara menyeluruh. Antara motif haiwan yang digunakan dalam wau ialah siku keluang, tapak harimau, tulang ikan dan sebagainya.
     Abstrak adalah bentuk yang sukar untuk dinyatakan secara lisan dan tidak mempunyai bentuk yang tertentu. Corak abstrak yang dapat dibentuk setelah direka. Antara bentuk abstrsk yang digemari ialah pucuk jala dan mata berkait.
     Bentuk pucuk jala ini adalah bentuk bahagian sudut jala, sedangkan mata berkait pula ialah seperti mata yang bersambungan antara satu sama lain. Namun begitu masih banyak corak abstrak yang dibuat mengikut kemahiran si pembuat wau.
     Geometri pula mudah dihasilkan. Bentuk geometri ini hanya berbentuk satu garisan yang unik tetapi menarik antara jenis geometri ialah garisan lurus, melintang, menyerong . Sunggupun geometri yang dibentuk ini berupa satu garisan tetapi kelihatan menarik.
g )  Cara bermain                                
     Bagi wau jenis terbang, kepuasan boleh dirasai apabila wau tersebut mampu melakukan penerbangan setinggi mungkin. Sebelum diterbangkan adalah perlu dipastikan wau tersebut diimbangkan dengan baik dan tidak berat sebelah. Ini adalah untuk menentukan sama ada wau dapat terbang dengan baik atau tidak. Sekiranya tidak seimbang, wau tidak dinaikkan dengan baik.
     Setelah keseimbangan dipastikan tugas selanjutnya ialah menaikkan wau supaya mampu tebang ke udara. Biasanya dua orang diperlukan untuk menaikkan wau. Seseorang akan memegang tali wau yang digelar juru anjung dan seorang lagi akan membawa wau kira-kira 15 hingga 25 meter dari juru anjung dan digelar juru main tali.
     Sebaik sahaja terdapat angin yang sesuai, wau akan dilepaskan dan juru anjung akan menariknya sambil berlari anak. Ketika itu wau akan naik kemucak kira-kira 20 meter ke udara. Juru anjung akan terus menghulurkan tali supaya wau dapat dinaikkan lebih tinggi. Lazimnya wau boleh naik sehingga 500 hingga 600 meter ke udara.
     Setelah melihat wau naik dengan baik, juru anjung akan menambat tali wau pada pangkal pokok dan terus memegang. Juru anjung akan meninggalkan tempat tersebut dan menikmati alunan bunyi busur yang dibawa oleh angin. Oleh kerana angin adalah faktor penentu wau sama ada  wau boleh dinaikkan atau tidak, bermakna wau selalu dimainkan pada musim berangin.
h ) Pertandingan
     Wau dipertandingkan dan terdapat beberapa pertandingan dijalankan.
Salah satu daripadanya ialah dari segi terbangannya yang di ukur pada darjah ketinggian wau atau arah yang ditetapkan. Wau yang baik imbangkan akan dapat terbang melawan angin di satu darjah menegak sehingga beberapa lama.
     Terdapat juga pertandingan yang menjatuhkan lawan. Setiap wau dipasang dengan taji besi tajam pada bahagian bawah wau supaya dapat memutuskan tali wau lain. Wau yang tertali akan cuba menjatuhkan wau yang terbang disekitarnya. Wau yang dapat dijatuhkan akan dikira kalah.
     Cara lain itu pertandingan ialah melekatkan serbuk kaca pada tali supaya menjadi tajam. Apabila berlaku pergeselan antara tali wau, wau akan terputus talinya dan jatuh maka ia dikira kalah. Bagaimana pun penggunaan
serbuk kaca ini diharamkan kepada kerana ia mendatangkan bahaya kepada permain. Dalam sesebuah pertandingan kumpulan permain wau terdiri daripada dua orang. Bagaimana pun kumpulan peserta ini tertakluk kepada saiz wau itu sendiri. Bagi wau yang bersaiz kecil, hanya dua orang pemain sahaja diperlukan. Sekiranya saiz wau yang dipertandingkan itu besar, iaitu lebih daripada enam meter bilangan peserta sebuah kumpulan boleh mencecah 10 orang.
     Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, pertandingan wau boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu dari segi kenaikan wau dengan pantas dan menegak atau dari segi kecantikan.
     Dalam pertandingan wau naik, pengadilan akan dibuat untuk memilih pemenang berdasarkan wau yang naik tinggi. Kemahiran peserta menaikkan wau , wau menghasilkan bunyi yang paling kuat dan merdu. Selain itu pengadilan juga dibuat ke atas gembar lukisan wau dan menaik secara menegak iaitu tidak berputar ditiup angin.
     Cara pengadilan dari segi ketinggian wau menaik dipanggil ‘pancang meter’. Kiraan ukuran wau naik dibuat dengan pembaris yang diletak pada bahagian pancang tempat tali wau diikat.    
     Pertandingan wau cantik pula lebih menitikberatkan kepada aspek keunikan seni rupa dan kreativiti pembuat wau, wau yang tergolong dalam
kategori wau cantik tidak perlu diterbangkan. Jadi pemarkahan tidak termasuk kemerduan bunyi wau dan keupayaan wau naik dengan sempurna.
     Jangka masa bagi sesuatu pertandingan pula dikira dengan menggunakan
tempurung. Tempurung jantan iaitu tempurung yang berlubang akan diletakkan di atas air. Selagi tempurung berkenaan tidak tenggelam, pertandingan terus berjalan, tetapi apabila tempurung telah tenggelam, bererti jangka masa sebuah pertandingan telah tamat.
i ) Perubahan Fizikal
     Seperti lain, wau juga mengalami perubahan. Ini adalah sejajar dengan kehendak dan minat seseorang untuk memastikan wau tidak di telan zaman.  Dari segi bentuk wau juga mengalami perubahan yang cukup menarik.
     Jika dahulu wau lebih berbentuk bulan , burung atau sebagainya. Namun kini wau telah dihasilkan dalam pelbagai bentuk yang menarik. Antaranya yang berbentuk haiwan seperti bunga, ikan dan sebagainya. Ada juga yang berbentuk geometri.
     Saiz wau juga mengalami banyak perubahan . Lazimnya saiz wau adalah bergantung kepada jenis dan corak permainan . Saiz wau yang dipertandingkan untuk peringkat antarabangsa adalah besar untuk memastikan penerbangan dapat dilakukan dengan baik . Wau yang hanya dipertandingkan di dalam negara juga mempunyai saiz yang besar juga .
     Bagi memastikan wau kelihatan cantik , pelbagai eksesori dikenakan pada wau , eksesori ini termasuk jenis kerja yang berkilat , renda pada bahagian ekor . Ropol-ropol yang mengelilingi wau , tali yang berwarna-warni pada bahagian muncung dan sebagainya . Semua ini akan menjadikan wau kelihatan menarik .
     Selain itu bunyi juga perlu supaya keunikan rekabentuk dan bentuk adalah seiring .Jika dahulu wau lebih menggunakan pita daripada buluh , tetapi kini terdapat wisel yang diletakkan di bawah wau . Walaupun pengunaan wisel tidak menarik ,tetapi menghasilkan bunyi yang kuat .
     j )  Persamaan Wau dan Layang-layang
     Wau dan layang-layang merupakan dua permainan yang amat menarik dan mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu . Oleh itu terdapat banyak persamaan antara wau dan layang-layang.  
     Pada asasnya wau dan layang-layang tergolong dalam satu kumpulan yang sama. Ini disebabkan wau dan layang-layang mempunyai kerangka yang diperbuat daripada buluh yang diraut halus atau lidi. Kemudian bahagian badan pula diperbuat daripada kertas .
     Wau dan layang-layang  juga mempunyai dua bahagian kepak yang terdapat di sisi. Bahagian ekor pula berfungsi untuk mengimbangi wau atau layang-layang yang sedang terbang ke udara.
     Kedua-dua alat permainan ini memerlukan tali atau benang. Tali yang telah digunakan untuk bermain wau dan benang yang halus untuk bermain layang-layang. Tali atau benang digunakan untuk menaikkan wau atau layang-layang. Selain itu tali atau wau mampu mengubah arah angin atau sebagainya.
     Angin merupakan unsur yang paling penting sekali dalam permainan wau atau layang-layang . Kedua permainan ini dimainkan apabila angin sedang bertiup . Sekiranya ketiadaan angin , wau dan layang-layang masih boleh dimainkan , tetapi sukar untuk dinaikan . Oleh itu wau dan layang-layang adalah satu permainan yang bermusim .
     Wau dan layang-layang tidak mempunyai kawasan yang khusus . Kedua-dua permainan ini boleh dimainkan di mana sahaja tanpa mengira kawasan . Adalah lebih baik jika dimainkan di kawasan lapang kerana mempunyai tiupan angin yang boleh stabil .
     Wau dan layang-layang tidak boleh dimainkan di kawasan pantai atau berbukit . Ini disebabkan angin yang bertiup kencang akan merosakkan wau atau layang-layang .
k ) Perbezaan Wau dan Layang-layang
     Wau dan layang-layang adalah dua jenis permainan yang hampir sama .Namun jika dihalusi masih terdapat banyak perbezaan . Dari segi bentuk mempunyai perbezaan yang amat ketara .
    Wau biasanya mempunyai bentuk yang menarik jika dibandingkan dengan layang-layang. Wau boleh dibahagikan kepada pelbagai bentuk yang diminati seperti bulan, burung dan sebagainya. Selain itu terdapat perbagai bentuk terutama apabila upacara pertandingan di peringkat negara diadakan.
     Ini amat berbeza daripada layang-layang yang mempunyai bentuk yang hampir sama iaitu bersegi. Dari penghasilannya adalah mudah tetapi tidak menarik. Oleh itu tidak ramai yang meminatinya.
     Saiz wau juga adalah besar jika dibandingkan dengan layang-layang. Pelbagai jenis saiz yang besar sehingga mempunyai saiz bermeter-meter lebar dan panjang.
     Wau juga yang mempunyai saiz ekor yang cukup panjang dan apabila menghasilkan wau berbentuk ular, naga atau sebagainya. Saiz layang-layang adalah kecil. Panjang layang-layang adalah sekitar satu meter dan lebar setengah meter. Ekor layang-layang yang diperbuat daripada kertas mempunyai saiz kurang daripada dua meter.
     Selain itu wau mempunyai berat melebihi tiga kilogram. Ini disebabkan wau mempunyai saiz yang besar di samping pelbagai eksesori yang lain. Layang-layang pula hanya mempunyai berat kurang daripada sekilogram.
( i ) Jenis Kertas
     Bahagian badan yang diperbuat daripada jenis kertas yang tahan lama. Pelbagai jenis kertas yang digunakan dan bergantung kepada bentuk atau bilangan corak yang dihasilkan. Lazimnya lebih daripada dua jenis kertas yang digunakan untuk menghasilkan corak yang menarik. Ini amat berbeza dengan layang-layang yang hanya menggunakan kertas biasa sahaja. 
     Kertas yang keras dan tahan lama digunakan untukmemastikan wau tidak mudah rosak apabila diterbangkan. Oleh kerana wau diterbang tinggi di udara menyebabkan hanya kertas yang tahan angin sahaja yang digunakan. Ini berbeza dengan layang-layang yang hanya menggunakan kertas nipis dan tidak tahan lama. 
( ii )  Jenis Rangka
     Kerangka wau diperbuat daripada buluh yang kukuh dan tahan lama. Kerangka perlu kuat untuk menampung kertas yang keras, tebal dan berat. Ini adalah penting supaya wau tidak mudah rosak apabila diterbangkan. Tambahan pula wau dimainkan ketika angin bertiup dengan kencang.
     Kerangka layang-layang pula hanya diperbuat daripada lidi sahaja. Ini disebabkan layang-layang hanya menggunakan kertas yang nipis di samping penerbangan yang rendah sahaja.
( iii ) Pertandingan
     Wau sering dipertandingkan. Setiap tahun ada sahaja pertandingan wau diadakan terutama di peringkat antarabangsa. Pelbagai jenis wau diperagakan.
     Dari segi pertandingan wau yang terbang tinggi menghasilkan bunyi yang kuat dan kreativiti wau menjadi pilihan. Oleh itu setiap wau yang dipetandingkan mempunyai kelebihan tersendiri.
     Ini berbeza dengan layang-layang yang jarang dipertandingkan. Layang-layang tidak mempunyai nilai komersil. Oleh itu layang-layang hanya dimainkan oleh golongan kanak-kanak sahaja untuk mengisi masa lapang mereka.
( iv ) Corak Penerbangan
     Bagi menerbangkan wau juga amat berbeza jika dibandingkan dengan layang-layang, wau mempunyai saiz yang besar.
     Oleh itu penerbangan dilakukan oleh dua pemain. Pemain pertama akan memegang tali dan pemain kedua akan memegang wau.
     Apabila angin sedang bertiup perlahan dan jarak antara dua pemain sekitar 20 meter, wau akan diterbangkan dengan cara menghumbankan ke  udara. Pada masa inilah wau diterbangkan.
     Ini amat berbeza dengan layang-layang yang mudah untuk dinaikkan.Pemain akan menarik layang-layang pada jarak sepuluh meter dan berlari untuk menaikkan layang-layang.
     Tiupan angin yang perlahan sudah cukup untuk membantu layang-layang naik. Ini berbeza dengan wau. Wau yang diterbangkan akan menghasilkan bunyi yang menarik. Manakala layang-layang tidak mempunyi bunyi langsung. 
     Selain itu wau dimainkan oleh golongan dewasa. Ini disebabkan wau memerlukan tenaga yang banyak untuk menaikkan wau. Selain itu untuk menghasilkan wau yang cantik adalah sukar. Ini amat berbeza dengan layang-layang mudah dihasilkan.
( vi ) Kaedah Permainan
     Wau telah dimainkan sejak dahulu lagi, permainan ini hanya dimainkan oleh kaum lelaki sahaja. Ini disebabkan permainan ini memerlukan ketangkasan dan tenaga yang banyak untuk menerbangkan wau atau layang-layang. Namun begitu terdapat dua jenis golongan yang disasarkan dalam permainan itu iaitu kanak-kanak dan golongan dewasa. 
     Kanak-kanak amat gemar bermain layang-layang jika dibandingkan dengan bermain wau. Ini disebabkan layang-layang mudah dihasilkan. Layang-layang juga mudah untuk dinaikkan jika dibandingkan dengan wau.
     Kanak-kanak hanya bermain di kawasan lapang. Oleh kerana tiada pertandingan yang diadakan. Ini bermakna layang-layang bebas dimainkan tanpa ada sekatan atau syarat.
     Golongan dewasa lebih mengemari wau. Ini disebabkan permainan wau lebih menarik berbanding layang-layang. Lazimnya untuk menghasilkan wau adalah sukar. Penghasilan wau memerlukan kreativiti yang tinggi untuk memastikan permainan yang menarik.

     Saya membuat rujukan hasil kerja ini dengan berpandukan sebuah buku Permainan Tradisional Rakyat yang mengandungi 20 muka surat.
     Buku ini ditulis oleh seoarang pengarang yang bernama
Jasiman Ahmad dan diterbitkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia.
     Dicetak oleh Imejdsn Enterprise Kuala Lumpur. Cetakan pertama pada tahun 2004.

No comments: